Sunday, November 15, 2009

Usrah 17/10/2009 : Kejadian Manusia

Agenda : Hadith 4 (Dari Hadith 40 Susunan Imam Nawawi)

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):

Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang ama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya,ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya,sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya dalam (بدءالخلق (باب ذآر الملئكة) ) nombor 3036, dan dalam ( القدر ) dan dalam ( الأنبياء ) . Al-Imam Muslim meriwayatkannya di awalkitab ( القدر ) bab ( باب آيفية خلق الآدمي ) nombor 2643.).

Kefahaman Hadis :

1) Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam Rahim :

Ayat-ayat yang berkaitan dengannya (Al-Haj : 5) (Al- Mu’minun :12-14)

Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat : Sebagai pengajaran kepada manusia untuk mencapai tahap kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara ((tadarruj)) beransur-ansur tidak gopoh atau gelojoh.

2) Ditiup Ruh :
Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan.

Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah selama empat bulan sepuluh hari bagi menjamin kesucian rahimnya(tak mengandung).

3) Menggugurkan Janin :
Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira sebagai jenayah dan wajib
membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati selepas itu.Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan pendapat. Ada yang kata boleh tapi pendapat yang dhaif.

4) Keluasan Ilmu Allah
Maha mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau kufur dan maksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya.

Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).

Ulasan penting Pembentang dan Naqib:

Kita tidaklah dapat mengetahui nasib seseorang di akhirat kelak walaupun jelas kita melihat bentuk amalan beragamanya di dunia. Ada yang rajin beribadah tetapi di saat-sat akhir hidupnya telah melakukan maksiat kepada Allah. Manakalah yang jelas amalan buruknya selama ini, boleh berubah.

Pentingnya meningkatkan darjat ibadah. Ada ulama beribadah sehingga melupakan soal syurga dan neraka. Ianya semata kerana Allah. Seperti yg terkandung dalam doa-doa mereka. (Rujuk kisah; Al-ghzali@Rabiatul Adawiyah)

Perbincangan 1:

Jika ditinjau sejarah asal usul kejadian manusia melalui pengkisahan Al-Quran, ia boleh diketigorikan kepada 3:

a)Penciptaan Nabi Adam a.s. Allah telah mencipta jasadnya daripada tanah (dibentuk). Kemudian ditiupkan Roh (CiptaaNya). Menjadilah manusia bernama Adam.

b)Melalui keturunan. Setelah Adam, kemudian diciptakan pula hawa dari diri adam sendiri dengan berlainan jenis jantina(perempuan) dengan fitrah saling memerlukan antara satu sama lain. Melalui proses persenyawaan, berlakulah percantuman benih keturunan adam dan hawa, lahir dan tumbuhlah manusia. Beginilah proses yang disebut dalam hadith tersebut.

c)Kejadian nabi Isa a.s. Dengan kuasa Allah swt Isa dilahirkan tanpa bapak oleh ibunya Mariam. (Allah maha kuasa, tidak mustahil semua ini bagiNya)

Pengetahuan tentang kejadian manusia merupakan suatu ilmu yang penting bagi orang beriman. Mungkin dengan adanya pengetahun seperti inilah yang membezakan antara gelaran Islam ketutrunan dan Islam yang beramal atas kesedaran dan kefahaman ilmu. Firman Allah: "Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat dan tidak (pula) sama gelap gelita dengan cahaya, dan tidak (pula) sama yang teduh dengan yang panas." (Surah al-Fathir: 19-21). Orang yang berilmu lebih istiqamah melaksanakan perintah Allah kerana mengetahui tujuan kejadian manusia. Misalnya kefahaman tentang Firman Allah swt yang bermaksud “Dan Aku tidak jadikan Jin dan Manusia itu melainkan supaya mereka meng’abdikan diri kepadaKu.” (Adz-Dzaariaat: 56).”

Daripada hadith 4 tadi. Wujud pelbagai persoalan sejak dahulu lagi. Iaitu berkenaan nasib manusia. Sejak dalam perut ibunya lagi, Allah telah memerintahkan malaikat supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia.

Persoalanya, sekiranya takdir itu telah ditetapkan, kenapa kita mesti bersusah payah memlihara amal baik dan buruk?

Bagi menjawab persoalan ini, kita memetik pedoman dari kitab Al-Hikam; dalam menghadapi ruang lingkup takdir kehidupan ini, kita hanya pastikan tiga perkara;


1)Niat (Jaga niat)

2)Sempurnakan ikhtiar

3)Tawakkal

Dalam huraian hadith juga nabi telah memberi respon supaya kita mesti menjaga amal. Amal boleh jadi penentu syurga dan neraka kita. Sebagai tambahan, kita bawakan satu kisah;

Tentang seorang hamba Allah yang rajin beribadah dan berzikir kepada Allah. Diriwayatkan seorang yang ada hubungkait denga ahli zikir ini, telah mendapat petunjuk melalui mimpi dengan mendapat khabar bahawa ahli ibadah tersebut telah dicatat takdirnya akan masuk neraka. Maka khabar itu telah disampaikan kepada hamba yang rajin ibadah itu. Namun, walaupun mendapat khabar tersebut, hamba Allah ini terus istiqamah dengan amalanya atas kesedaran bahawa dia tetap berhak menyembah dan mengingat Tuhan yang Maha wujud. Pendek cerita, disaat-saat akhir hidup hamba yang istiqamah ini, sekali lagi dia mendapat kahbar mimpi bahawa dia telah dicatat masuk ke dalam syurga pula. (Cerita-cerita sufi yang berunsurkan pengajaran dan motivasi)

Tentang persoalan ibadah semata kerana Allah, sebenarnya tidak salah kita beribadah kerana mahu masuk syurga atau kerana takut neraka. Sebab, itu adalah anjuran dan tawaran Allah swt dalam Al-Quran. Cuma dalam kalangan ahli-ahli ibadah wujud perbezaan darjatnya bergantung kepada tahap penghayatan, ilmu, amal dan cintanya kepada Allah. Seperti kondisi spiritual yang dialami oleh wali Allah, iaitu Rabiatul Adawiyyah sehingga ia berdoa “Ya Allah, aku tidak beridah kepadamu kerana inginkan syurga, bukan pula kerana takutkan neraka, tetapi aku beribadah, kerana cintaku kepadamu ya Allah”.

Boleh sahaja dibuat perumpamaan seperti seorang bapa yang memerintahkan 3 orang anaknya supaya melakukan suatu perkara dan berjanji akan memberikan duit ganjaran bagi sesiapa yang mengikuti perintah, dan akan merotan bagi yang melanggar perintah. Mungkin si anak itu ada yang melakukanya kerana mahu dapatkan duit ganjaran. Yang keduanya takut dirotan. Yang ketiga, dia lakukan kerana dia sedar dia perlu taat dan sayang kepada bapanya. Bapanya menyedari hal itu, mesti bapa lebih menyayangi anak yang ketiga itu. Begitulah juga perumpamaan perbezaan darjat hubungan di kalangan kita terhadap Allah. (yang menentukan kita masuk syurga bukanlah semata amal ibadah, tetapi atas rahmat Allah).

Perbincangan 2

Seharusnya kejadian kita ini disyukuri. Ia merupakan nikmat Allah yang besar. Banyak manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah. Tandanya mereka tidak taat dan melanggar perintah Allah swt. Allah bertegas dalam Al-Quran “ Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan?” (Al-rahman: 16).

Banyak nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita dalam kehidupan sehari-harian. Kita dapat rasakanya sendiri.

3 persoalan asas tentang kejadian manusia. Sekiranya kita mengetahui dan mencari jawapanya, maka kita telah mengetahui jalan mana yang kita tujui;

1)Dari mana kita datang?


2)Mengapakah kita dijadikan?


3)Ke mana hala tuju kita selepas kehidupan ini?






No comments: